MBA

Masjid Alimsah Waley ~ Kenali Masjid Anda -Nukilan ACP (RTD) Haji Osman Bakar

Masjid Jamek Alimsah Waley, Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau PinangMasjid ini merupakan satu lagi masjid lama yang terletak di Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Masjid Jamek Alimsah Waley, Lebuh Chulia, Pulau Pinang

Masjid ini berlokasi di Lebuh Chulia dan catatan rekod yang wujud, menyatakan bahawa masjid ini telah di buka oleh seorang alim berketurunan India Muslim bernama Haji Abdul Kadir Alimsah dari Persatuan Muslim Daerah Tanjore, Selatan India.

Beliau telah berhijrah dari Selatan India ke Malaya dan telah menetap di sebuah pondok di Lebuh Chulia. Beliau melaksanakan tugas sebagai Imam Masjid di samping mengajar Al Quran kepada kanak kanak di kawasan berhampiran kediamannya.

Pada tahun 1811, sebahagian dari masyarakat Muslim di Pulau Pinang, di bawah pimpinan Haji Abdul Kadir Alimsah dengan bantuan dana dari penyumbang Islam di kawasan Lebuh Chulia, telah mendirikan sebuah masjid atas tanah di Lot 279 di Lebuh Chulia.

Pada 5 Julai 1842, Haji Kadir telah mewakafkan tanah Lot 279 ini kepada Sahid Lebby, Muckdoom Sah dan Kadir Meah untuk dikekalkan sebagai tempat beribadah yang tidak boleh di lupuskan.

Pada 3 Ogos 1853, surat pentadbiran tanah pusaka Haji Abdul Kadir telah diamanahkan kepada anaknya, Haji Mohamed Sahid Effendi. Pada tahun 1867, Haji Mohamed Sahid Effendi telah membina sebuah bangunan batu menggantikan masjid kayu binaan bapanya.

Dua tahun kemudian, dia membina semula masjid tersebut dengan dana hasil pungutan dari masyarakat Islam tempatan.

Ketika Haji Sahid Effendi berada di tanah suci (1881 ke 1883), sebahagian tanah masjid ini telah menjadi tanah paya akibat kerja kerja pembinaan di kawasan berhampiran di Lebuh Campbell, yang menghalang aliran perparitan. Pihak berkuasa tempatan di Georgetown telah kenakan tindakan ke atas Haji Sahid Effendi. Usaha untuk dapatkan bantuan kewangan dari pihak berkuasa tempatan telah di tolak sebaliknya, Haji Effendi di arah mengambil tindakan penambakan tanah paya itu dengan menggunakan kewangan masjid.

Antara tahun 1904 ke 1905, disebabkan keadaan yang sangat mengecewakan wujud di masjid ini, tiada jemaah yang datang bersolat di masjid atas faktor kebersihan yang terlalu kotor, berpunca dari keadaan beberapa bilik yang telah dibina oleh Haji Effendi bagi tujuan untuk di sewakan.

Antara penyewa nya adalah beberapa perempuan (Korenggu) yang tidak berakhlak . Aktiviti aktiviti tidak di ingini dilaporkan berlaku setiap malam. Dilaporkan juga anjing peliharaan perempuan Korenggu menceroboh masuk ke dalam masjid.

Pada Disember, 1941, sebahagian dari bangunan masjid ini telah musnah akibat serangan bom tentera Jepun. Sebuah surau kayu sementara telah didirikan di atas tapak masjid dan kegiatan keagamaan diteruskan di surau sementara ini antara tahun 1941 dan 1952.

Pada tahun 1952, sejumlah $15,000 berjaya di kumpul dan masjid baru dibina pada 14 Januari 1952. Bantuan berjumlah $7,000 merupakan sumbangan diterima dari ‘Mohammedan and Hindu Endowments Board’ manakala $8,000 adalah dari sumbangan masyarakat Islam di Pulau Pinang.

Sejak dari zaman Haji Abdul Kadir lagi, kawasan ini telah dikenali sebagai ‘Kampong Wali Alimsah’. Masjid baru ini dibina bersebelahan 56 unit rumah pangsa pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2007.

Haji Abdul Kadir Alimsah meninggal dunia pada tahun 1852 dan disemadikan ditanah perkuburan bersebelahan masjid. Semoga Masjid Alimsah Waley dapat kembangkan syiar Islam di kawasan berhampiran khususnya dan Pulau Pinang amnya.

Artikel Asal : https://obee-mancuso.blogspot.com/2021/02/masjid-alimsah-walley.html

ACP (RTD) Haji Osman Bakar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com