Mencegah Anak Hidup Bermuka-muka | Sembang Abah oleh Ustaz Hazrizal Abdul Jamil

“Jaga maruah keluarga kita!”
“Tiada dalam keturunan kita yang buat macam ini!”
Mungkin dialog-dialog di atas adalah antara kenyataan yang sering kita temui di dalam drama Melayu. Ibu bapa kecewa apabila anak-anak tidak menjadi. Tidak jadi seperti yang mereka mahu.
Semasa anak tidak menjadi, apa pilihan yang ada?
Jika kita tidak suka makanan sebuah restoran, kita boleh pindah restoran lain. Jika kita tidak berkenan dengan seorang artis, kita boleh pilih artis lain. Jika kita tanam pokok, ia tumbuh tetapi tidak berbuah, kita masih boleh cantas dan tanam pokok lain.
Tetapi jika yang tidak menjadi itu anak sendiri, hendak berpatah balik mustahil. Mahu buang anak?
Menyebut tentang cabaran tidak semudah mendepaninya.
Didik anak mengikut zamannya, ahh… ringan benar kata-kata itu di lisan.
Rezeki saya banyak berprogram dengan remaja semenjak anak-anak saya sendiri masih bayi. Bertemu dengan 1001 kisah remaja masyarakat kita, sentiasa menjadikan kenangan itu berada di belakang kepala saya, semasa menguruskan anak-anak sendiri yang kini sudah remaja.
“Mak ayah saya hanya tahu membawa kami ke dunia ini sahaja. Selepas itu, mereka sibuk dengan hal mereka, tidak pedulikan kami” itu adalah kata-kata seorang remaja pintar yang saya temui. Ayat sebenar beliau semasa mengadu kepada saya ialah “mak ayah saya tahu buat anak je!”
Itu kekecewaan.
Tetapi anak masih dapat bertahan. Memilih jalan yang selamat dan baik dalam kehidupan.
Apa yang menghantui saya suatu ketika dahulu, adalah anak-anak aktivis dakwah hidup ‘double-life’. Emak ayah ber’ana anta’, akhi dan ukhti, bulatan ukhuwwah, lingkaran tarbiah, tetapi anak-anak hidup ‘double life’.
Ada yang depan mak ayah mereka anak soleh, di belakang mak ayah mereka jadi pelesit.
Ada yang berjaya dari segi akademik, tetapi ranap rumahtangga yang baru dibina.
Ada yang berjaya jadi hafiz dan hafizah, kemudian terjebak dengan zina.
Memendam derita menjadi gay dan lesbian hingga putus asa dengan agama.
Itu yang berhubung dengan saya. Manakala yang tidak berhubung, saya tidak tahu. Saya sendiri adakalanya bingung mengapa saya yang mereka hubungi. Saya ada sahaja nasihat untuk dikongsi, tetapi saya sebenarnya trauma.
Melihat anak-anak sendiri, saya tidak mahu mereka hidup bermuka-muka.
Lebih penting, saya tidak mahu mereka mencari ‘Ustaz Hasrizal’ lain. Saya mahu mereka berbincang dengan saya, walau apa sekali pun masalah yang mereka hadapi. Saya percaya, semua remaja yang berkrisis itu akan mendapat jawapan serta impak yang lebih baik, jika mereka dapat membincangkan masalah yang mereka hadapi itu dengan ibu bapa mereka sendiri, dan bukannya dengan saya, seorang outsider.
Buka ruang untuk anak memberi maklum balas.
Ketelusan itu tidak boleh terjadi secara spontan. Ia perlu dipupuk. Dibentuk di dalam persekitaran dan amalan keluarga yang anak-anak percaya bahawa mereka boleh bersuara malah boleh buat salah.
Salah tetap salah.
Tetapi apabila salah, rumah selamat untuk pembetulan berlaku.
Bukan menyembunyikan kesalahan di sebuah daerah asing, dan pulang ke rumah membawa kesempurnaan.
Saya tiada air muka, maruah, soal keturunan yang hendak saya pertahankan. Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Sebagaimana kita perlu bersedia menerima kecacatan fizikal dan mental semasa anak lahir ke dunia, demikian juga kita perlu bersedia menerima kecacatan perbuatan dan pendirian anak-anak di dalam proses mereka dewasa.
Menerima bukan bermaksud menukar salah jadi betul. Tetapi menerima dalam erti kata, jika buat salah, lebih baik kamu datang kepada kami dengan kesalahan itu untuk kita bincangkan. Bukannya datang dengan kesempurnaan, demi memuaskan hati kami kerana kepuasan hati ibu bapa boleh menjadi kepalsuan yang disangka sebagai redha ibu bapa syarat masuk Syurga.
Dunia hari ini kejam.
Manusia semakin ganas.
Sungguh sedih apabila Nabi Nuh alayhi al-salam membina bahtera yang anak isterinya tidak sudi.
Namun kita tetap perlu membina bahtera.
Rumah dan keluarga sebagai bahtera penyelamat, tempat anak mencari pelampung, semasa karam di lautan kesilapan.
Hasrizal
Oulu Finland.
Sumber : 24/06/2020 Keluarga, Sembang Keluarga, Terkini 3 Comments 2,824 Views