TAPE MERAH oleh Cikgu NurAliya Yeoh
Episod 17: TAPE MERAH
Saya ada sebab tersendiri mengapa saya pilih untuk memeluk Islam di Pusat Islam, USM. Setelah peristiwa di pejabat agama 10 tahun lalu, saya tak mahu lagi masuk pejabat agama bersendirian.
Maka apabila pengislaman saya selesai di Pusat Islam, saya dimaklumkan bahawa saya masih perlu untuk daftarkan diri di Jabatan Agama Pulau Pinang.
“Aliya perlu sediakan 2 keping gambar dan salinan kad pengenalan.”
“Kami akan bawa Aliya ke situ, sebab kami pun nak tahu prosedur di situ,” Ustazah Rohayati dan Ustazah Normiza memberitahu saya.
Maka petang keesokan hari, saya ke studio gambar depan USM. Saya belum bertudung lengkap jadi hasilnya gambar pada Kad Akuan Masuk Islam saya tak boleh ditunjuk sebarangan sebab belum menutup aurat dengan sempurna.
Kami bertiga pergi ke Pejabat Agama Pulau Pinang menaiki van Pusat Islam.
Kami tiba di situ agak lewat petang jadi pejabat dah hampir kosong. Kami tak perlu lama.
Seorang pegawai yang saya akan gelar Ustaz Ma menyambut kami di kaunter.
Seterusnya saya diberi penerangan tentang konsep Islam oleh beliau. Ustazah turut memberitahu bahawa mereka telahpun memberi maklumat lengkap kepada saya semasa di Pusat Islam.
Kemudian, beliau ulangi sekali lagi lafaz 2 Kalimah Shahadah dengan saya, baru minta saya isi borang maklumat diri.
Ustazah yang menjadi saksi pengislaman saya turut memberi butir diri. Sekali lagi, saya dinasihati agar kekalkan nama keluarga.
Apabila saya hulurkan borang lengkap, Ustaz Ma masuk ke kubikel lain. Tak lama kemudian, sekeping Surat Perakuan Masuk Islam Sementara diberikan kepada saya.
Saya baca kandungannya.. haiyo, ia cuma laku untuk tempoh sebulan saja.
Ustaz Ma menerangkan bahawa saya wajib hadiri kursus selama sebulan sebagai syarat untuk dapat Kad Akuan Masuk Islam.
“Tapi saya tak boleh dapat ambil cuti untuk ikuti kursus itu. Saya pelajar universiti, semester baru pun baru bermula,” saya berikan alasan.
Lagipun saya tiada kenderaan untuk membolehkan saya pergi ke tempat kursus setiap hujung minggu. Susahlah jika saya terpaksa turun naik bas awam atau bayar teksi untuk hadiri kursus.
Ustazah Rohayati dan Ustazah Normiza menawarkan diri untuk mengajar saya di Pusat Islam sebagai ganti kepada kursus tersebut.
Ustaz Ma akhirnya setuju dan membuat catatan.
“Baiklah. Tapi ustazah perlu bawa Cik Aliya balik semula ke sini selepas sebulan untuk temuduga. Kalau lulus temuduga, baru pihak kami keluarkan Kad Akuan Masuk Islam.”
Kami bertiga angguk tanda setuju.
Seterusnya saya dihadiahkan sebuah travelling beg mengandungi senaskhah terjemahan Al Quran, sehelai sejadah, satu set telekung, sehelai kain batik, sebuah buku asas fardu ain serta sebuah buku asas mengerjakan sembahyang.
Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri P.Pinang:
Kaedah Jagaan Dan Pengajaran Orang Masuk Islam Dan Cara Pendaftarannya
(2) Mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana kelas Fardhu Ain di bawah perenggan 5 (1) (b) hendaklah ditemuduga bagi memastikan tahap kefahaman Islam orang tersebut dan soalan-soalan yang perlu dikemukakan ialah –
(a) pengertian Iman dan Islam menurut bahasa dan istilah syarak;
(b) huraian rukum Iman dan Islam;
(c) pengertian bersuci dalam Islam seperti Istinjak, jenis-jenis air dan jenis najis/cara- cara mandi wajib@ mandi hadas besar;
(d) pengertian wudhu’ dan rukun-rukunnya;
(e) cara-cara melaksanakan sembahyang 5 waktu dan sembahyang Jumaat;
(f) Bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang (Tabiratul Ihram, Surah Al-Fatihah, Tahiyat/Tasyahud dan Taslim/Salam)
(g) Pengertian hukum dan pembahagiannya.
Saya terpaksa patuh perjanjian dengan Ustaz Ma untuk bersedia ditemuduga sebulan selepas saya mendaftar sebagai Muslim.
Kalau anda fikir susah nak belajar bab fardu ain, susah nak lulus peperiksaan selepas 5 tahun belajar, tahu tak saudara baru hanya ada tempoh 30 hari untuk tahu serba serbi tentang Islam?
Ya, 30 hari untuk tahu beza jenis-jenis air, jenis-jenis najis, doa ketika solat dan sebagainya.
Kira saya perlu pandai seluruh buku fardu ain yang diberi tempoh hari.
Mungkin saya akan lebih yakin lagi jikalau saya benar-benar hadiri kursus yang dianjurkan untuk semua saudara baru.
Malangnya saya tak mampu ambil cuti selama sebulan, sebab ia akan memberi kesan kepada prestasi akademik saya di USM. Pergi kelas hujung minggu juga bukan opsyen yang baik sebab ia memerlukan saya turun naik bas awam tau habiskan berpuluh ringgit membayar teksi. Oh tidak, saya tak sanggup. Takut saya jadi frust dan kecewa nanti bila keletihan dan tertekan.
Hasilnya, saya pergi ke Pusat Islam USM untuk belajar secara informal saja dengan ustazah. Saya hanya bergantung pada ustazah untuk membimbing saya, itupun siang,saya perlu hadiri kuliah akademik dan malam pula, siapkan tugasan assignment.
Akhirnya hari yang dinanti-nanti tiba. Berbaju kurung dan bertudung, saya berjumpa kedua-dua ustazah itu di Pusat Islam.
Ustazah mendekati saya, ” Aliya, minta maaf. Van rosak jadi hari ini kita terpaksa naik kereta mayat. Tapi van bersih. Aliya tak kisahkan?”
Huh? ? Kereta mayat?

Saya senyum je la. Apa lagi pilihan yang ada?
Alhamdulilah, kenderaan tersebut bersih seperti dijanjikan. Kami duduk di atas bangku, dan saya sangat sedar akan ruang kosong di tengah yang memang dikhaskan untuk keranda.
Setibanya kami di destinasi, ustaz kelihatan terkejut melihat kami. Saya dipersilakan duduk di berhadapannya manakala ustazah duduk di tepi.
Saya diajukan beberapa soalan asas Islam, berjaya saya jawab. Kemudian dia minta saya bacakan Tahiyyat Akhir dalam solat.
Allah!
2 minggu pertama sebagai Muslim, saya telah mengerjakan solat dengan meletakkan nota di atas sejadah, takut lupa bacaan.
Nak pakai kain untuk solat pun saya belum pandai, asyik terlondeh; inikan pula nak saya ingat semuanya dalam sebulan.
Umpama humban saya ke kolam dan menjangka saya akan timbul sebagai perenang handalan.
” Minta maaf, saya tak ingat,” saya mengaku.
“Kalau begitu, saya tak boleh bagi la sijil masuk Islam,” ujar ustaz.
Menyirap darah srikandi saya.
Huh, setelah sebulan saya belajar bersungguh-sungguh dan struggle nak ingat semua informasi dalam buku fardu ain, tiba-tiba hanya sebab tak boleh ingat ayat tahiyyat akhir, nak dihalangnya saya terima satu-satunya kad pengesahan saya dah memeluk Islam?
“Ustaz!,” kalau murid saya di sekolah dengar suara saya begitu, mereka dah diam mengecut!
“Saya tak setuju. Ustaz tak adil. Takkan hanya sebab saya gagal jawab satu soalan, saya dikira gagal temuduga?
Bagaimana dengan soalan-soalan lain yang saya berjaya jawab tadi?
Saya tak puas hati. Budak sekolah pun belum tentu boleh hafal semua yang diberi dalam tempoh sebulan. Saya tak kira, saya nak lulus juga hari ini. Ustaz boleh tanya saya soalan lain.”
Huh, suara saya jelas kedengaran, kuat dan tegas. Rasa nak nangis frust pun ada.
Looking back, saya memang geram ketika itu. Syukur la saya dah 35 tahun, dah 14 tahun bergelar Cikgu jadi saya dah bersedia berperang pun demi sekeping sijil.
Kalau wanita muda awal 20an, mungkin dah menangis lari keluar dan tak balik situ dah.
Mungkin terkejut, ditambah pula saya diiringi wakil dari Pusat Islam, akhirnya saya lulus temuduga itu.
Ustaz masuk ke bilik lain dalam pejabat itu. Beberapa minit kemudian, dia muncul semula dengan wajah serba salah.
“Minta maaf. Kad Akuan masuk Islam tak dapat diserahkan hari ini sebab pegawai yang bertugas menandatangani Kad Akuan Masuk Islam sedang bercuti.”
“Takde pegawai lain yang boleh ganti dia tandatangan kah?” tanya ustazah.
“Maaf, tiada pegawai lain yang diamanahkan untuk gantinya. Saya pun tak boleh nak buat apa, kena tunggu dia balik dari cuti,” terang Ustaz Ma.
“Saya akan telefon Pusat Islam bila kad itu dah siap,” janjinya lagi.
Maka jadilah saya sebagai saudara baru tanpa dokumen sebab surat perakuan masuk Islam pun dah tamat tempoh.
Saya tak berani keluar kampus selama itu sebab takut jika terjadi kecelakaan, tiada sesiapa yang akan mengesahkan agama saya. Mujurlah saya dah bertudung. Hanya tudung di kepala saya petunjuk identiti saya sebagai muslim, sebab kad pengenalan baru pun belum dibuat.
Hampir setiap hari saya akan tunggu panggilan Pusat Islam atau dari Ustaz Ma.
Akhirnya saya terpaksa menelefonnya.
“Ustaz, mana kad akuan Islam saya?”
Ustaz akan bagi alasan belum siap.
“Ustaz, kalau sesuatu yang buruk berlaku pada saya dalam keadaan saya tanpa kad akuan Islam, ustaz nak tanggung kah?”
Geram dan tertekan, saya marahnya dalam telefon sambil meleleh air mata (Kesian ustaz, tersepit gara-gara kecuaian pihak lain, huhu)
Saya mengadu kepada ustazah di Pusat Islam.
“Ya, Aliya. Ustazah pun tak faham mengapa lambat sangat nak siapkan kad tu,” ustazah cuba menenangkan saya.
Akhirnya 2 minggu kemudian, saya dimaklumkan bahawa Ustaz Ma sendiri telah menghantar kad saya itu kepada Ketua Imam Masjid al-Malik, USM.
Alhamdulilah penantian berakhir.
Dengan adanya kad sekeping itu, saya perlu berjumpa Pesuruh Jaya Sumpah untuk mengangkat sumpah di hadapannya bahawa saya telah memeluk agama Islam dan saya dengan rela hati menggugurkan nama lama saya, untuk membolehkan saya menggunakan nama baru(Islam) dalam semua urusan rasmi.
Saudara baru wajib ada surat sumpah ini barulah boleh memohon pertukaran kad pengenalan.
Ketika itu, khidmat pesuruhjaya sumpah belum disediakan di pejabat agama mahupun universiti.
Saya perlu uruskan sendiri, maksudnya saya kena keluar kampus untuk cari khidmat pesuruhjaya sumpah.
Sibuk dengan sesi kuliah dan assignment yang makin menimbun, saya tangguhkan dulu berjumpa Pesuruhjaya Sumpah sehinggalah universiti bercuti.
Kemudian saya ke stesen bas untuk balik ke bandar di mana masih tinggal kenangan lama saya dengan James.
Saya perlu ambil risiko berkonfrontasi dengannya demi mengambil beberapa bahan yang tertinggal di rumah lama.
Sekiranya rancangan saya berjaya, InshaAllah saya takkan berseorangan menghadapi bekas suami saya itu.
Bersambung..

Sumber : https://www.facebook.com/nuraliya.yeoh
#sayaislamaliya
Nota Admin : Blog http://theycallmemualaf.blogspot.com akan di perkemaskini oleh Cikgu NurAliya Yeoh tidak berapa lama lagi. Insya Allah.
Sekarang beliau tengah sibuk mengendalikan kelas secara maya, maka artikel ini di ambil dari laman Facebook beliau. Harap maklum.