MBA

Bila Fitnah Berleluasa – Kisah Ahli WhatsApp Grup Surau Buat Dosa!

Friday, April 3, 2020

Dia dedahkan niat jahatnya

Dulu kawasan lapang di mana kononnya saya bermain ‘drone’.
 
Kisah bermula pagi semalam bila saya lihat kumpulan WhatsApp surau taman perumahan saya tiba-tiba aktif. Walau pun kumpulan ini menggunakan nama surau, cuma 10% dari isinya ada ciri-ciri keagamaan atau surau. Baki 90% diisi dengan lawak bodoh, sindir-menyindir dan sebagainya dan dihiasi dengan emoji kartun makhluk ketawa terbahak-bahak yang dihantar oleh ahli-ahli kumpulan yang saya anggap bertaraf badut atau ‘clowns’.
Emoji
Saya berani berkata begitu kerana pagi semalam saya menjadi mangsa lawak bodoh tersebut. Sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh penghantarnya, iaitu satu bahan lawak. Tetapi sebenarnya dia hanya mendedahkan niat jahatnya yang bertaraf fitnah dan pembohongan bertaraf najis di kumpulan WhatsApp menggunakan nama keagamaan itu.

Bahan cerita pagi semalam ialah satu perkara serious, iaitu seorang penghuni taman kami didapati positif Covid-19. Ambulans telah datang membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) pada malam sebelumnya. Ini bermakna dia diantara 208 kes baru semalam seperti disebut oleh Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Tetapi ahli-ahli kumpulan WhatsApp surau yang saya anggap bertaraf badut itu telah menjadikannya satu bahan lawak. Mereka tolak menolak tanggungjawab untuk menentukan ‘toboh mano’ rumah pesakit itu. Akhirnya seorang ‘super clown’ atau badut hebat mencadangkan saya menggunakan ‘drone’ untuk mencari rumah pesakit itu.

Saya yang hanya ketawa dengan lawak di filem-filem Clint Eastwood dan James Bond atau sebagainya dengan sekelip mata menangkap niat si badut hebat ini. Niatnya semata-mata hendak menyindir saya dan dia gunakan media WhatsApp surau untuk tujuan jahatnya. Pembaca lain terus senyap, agaknya terpegun dengan keberanian kawan setaraf badut mereka yang berani mengusik saya.

Apakah sindiran si badut ini? Dia menyindir kononnya saya tidak dapat lagi bermain ‘drone’ saya di tempat biasa. Jadi gunakanlah ‘drone’ itu untuk menentukan rumah pesakit Covid-19. Tak tahukah dia bila melihat ‘drone’ di udara, Polis akan mencari siapa pemainnya. Orang ramai pula akan keluar rumah. Tak pasal-pasal saya kena dakwa di mahkamah. Agaknya itulah yang dia mahu.

Semua orang di taman perumahan saya ini tahu Kawasan Lapang yang sudah diwartakan begitu dan betul-betul terletak di depan rumah saya sedang di ‘locked-out’ sekarang kerana pembinaan satu Dewan yang dibina secara haram oleh pihak berkuasa. Semua orang juga tahu saya tidak dapat lagi bermain salah satu hobi saya iaitu layang-layang. Malah seorang penghuni taman ini juga telah menyindir saya di akaun Facebooknya. Tak apalah, itu akaun Facebook dia.

Tetapi bila ada orang menyindir saya melalui WhatsApp surau adakah saya hendak berdiam diri? Oh ya, beberapa tahun yang lalu sebelum adanya kumpulan WhatsApp, badut yang sama pernah mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap saya di kumpulan ‘Yahoo group’ taman kami ini. Bila saya cabarnya untuk mengemukakan bukti, dia telah meminta maaf. Tetapi saya tidak memaafkannya.

Jadi kali ini saya terus memberi amaran supaya jangan memfitnah saya lagi, sedangkan permohonan maafnya untuk fitnah lama belum saya tunaikan. Kenapa saya tuduh dia memfitnah?Kerana saya tidak mempunyai ‘drone’ dan tidak pernah mempunyainya. Memang dulu saya pernah mempunyai kereta dan helikopter mainan, tetapi saya fikir tak payahlah sampai ke ‘drone’.

Si badut ini tentu malu untuk meminta maaf kali kedua. Oleh itu dia berkeras mengatakan saya mempunyai ‘drone’. Dia cuma mengalah bila saya menawarkan RM 1,000.00 kepada sesiapa yang boleh membuktikan saya pernah mempunyai ‘drone’. Komennya ‘maleh nak layan orang lamo’. 

Nasib baik dia sebut ‘orang lama’ dan bukan ‘orang tua’. Ini kerana saya pernah membalas komen seorang muda yang memanggil saya ‘orang tua’ di Facebook begini ‘Betul saya sudah tua, sudah 65 tahun umur saya (di masa itu), tetapi awak belum pasti dapat mencapai umur saya.’

Apa yang hendak saya beritahu di sini ialah si badut ini dalam usaha hendak berlawak bodoh sambil menyindir saya, cuma berjaya mendedahkan niat jahatnya. Sekali lagi dia telah berbohong dan memfitnah saya di media sosial.

Sumber: http://www.maarofkassim.com/2020/04/dia-dedahkan-niat-jahatnya.html

Haji Maarof Kassim
______________________________________________________________________________________________
Nota Admin MBA
Apa yang dilalui oleh Muslim Blogger Haji Maarof Kassim @ Once a Sdarian … bukan sesuatu yang boleh kita anggap remeh atau dibiarkan begitu saja.
Kita semua wajib menjaga nama baik kita dari dicemari fitnah jahat yang dilakukan oleh para penghasut dan berhasad dengki terhadap kita dengan secepat mungkin untuk mengelakkan ianya merebak dan merosakkan identiti dan reputasi kita.
Harimau mati meninggalkan belang (kulitnya) ; manusia mati meninggalkan nama (reputasi kita).  Fitnah jika dibiarkan tanpa dicabar dan ditangani akan dianggap benar oleh manusia akhir zaman ini yang kebanyakannya jahil dan mudah percaya terhadap apa sahaja berita yang disiarkan melalui media massa dan medan komunikasi maya seperti portal berita, laman blog, Facebook, WhatsApp, Twitter, Telegram, Instagram, WeChat dan sebagainya.
Andai kita biarkan saja maruah kita dicemari oleh manusia manusia tidak berani bertanggung jawab serta pengecut dan bacul yang bersembunyi di sebalik nama samaran dan identiti palsu, maka kehidupan dan nama baik kita akan hancur musnah dan silap haribulan, kita akan ditangkap dan disumbat ke lokap oleh pihak berkuasa yang hanya mahu menyiasat kes kita selepas kita di tahan reman dan sebagainya.
Bukan mudah untuk membersihkan nama kita sesudah fitnah itu menjadi viral dan tersebar luas oleh media seperti laman gosip dan pengadu domba. Maka kita perlu mencantas sumber fitnah itu sebelum ianya bercambah dan bertunas!
Tuan Puan perlu mengimbau sejarah bagaimana Siti Aisyah difitnah oleh seseorang sehingga membuatkan rumahtangga Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri terjejas teruk akibat fitnah itu.

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta,” iaitu dengan dusta, fitnah dan umpat keji.

Secara ringkasnya perkataan الإِفْك membawa maksud dusta, bohong, sifat yang keji dan memalingkan orang ramai dari kebenaran kepada penipuan nista.

Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah Radhiallahu Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol  Radhiallahu Anhu.

Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol.

Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran fitnah ini ialah Mistoh Bin Uthathah, Hamnah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Sayyid Qutb dalam menjelaskan ayat ini berkata: Maksudnya, membuat fitnah itu bukannya hanya seorang sahaja dan bukan pula beberapa orang, malah mereka terdiri dari satu kumpulan yang bersatu padu dan mempunyai matlamat yang sama.

Orang yang menyebarkan fitnah yang didusta itu bukannya Abdullah ibn Ubay ibn Salul seorang sahaja, tetapi dialah yang mengambil peranan yang terbesar, yang mewakili kaum Yahudi dan kaum Munafiqin yang tidak berupaya memerangi Islam secara terbuka. Mereka telah berselindung di sebalik tabir Islam untuk memusnahkan Islam secara diam-diam.

Dan cerita fitnah yang didusta itu merupakan salah satu dari rancangan-rancangan jahat mereka yang berbisa, tetapi orang-orang Islam telah tertipu dengan di’ayah (pembohongan) mereka lalu turut memperkatakan cerita fitnah itu seperti Hamnah binti Jahsy, Hassan ibn Thabit dan Mistah ibn Uthathah, sedangkan punca yang merancangkan fitnah itu berada di tangan kumpulan itu yang dipimpin oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul, seorang dalang yang sangat berhati-hati dan pintar.

Pemfitnah durjana

Dia tidak pernah menampakkan dirinya dalam perjuangan itu. Dia tidak menuduh secara terus terang hingga dapat ditangkap dan dikenakan hukuman hudud. Dia hanya menyebarkan fitnah itu secara berbisik-bisik di kalangan orang-orangnya yang dipercayai tidak akan menjadi saksi terhadapnya. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 11/374-375)

Kita sedia maklum bahawa ayat ke 11 daripada Surah al-Nur diturunkan untuk membebaskan Aisyah Radhiallahu Anha daripada tuduhan keji dan jahat kaum munafik.

Makanya, wajib bagi kita mengambil tindakan yang tegas dan pantas terhadap para pemfitnah dan pendusta sebelum kita menjadi mangsa mereka.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.