Malaysia aset strategik kepemimpinan OIC ~ Azril Mohd Amin
| 14 April 2015 12:29 AM

Hal ini ditegaskan secara khusus ketika beliau menghadiri sesi keempat Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) OIC di Jeddah pada 2 Februari tahun lalu.
Dr. Iyad menyebutkan secara khususnya isu-isu had kebebasan bersuara, kesamarataan gender, pelaksanaan hak asasi manusia yang bersesuaian dengan sistem perundangan dan perlembagaan negara anggota OIC serta tindakan menyekat ekstremisme sebagai antara keutamaan OIC dalam tahun-tahun mendatang.
Keprihatinan yang dilahirkan Dr. Iyad sendiri di dalam kenyataan beliau di sidang keempat IPHRC tersebut menyebutkan tentang realiti negara-negara anggota OIC yang telah secara sukarela menerima pakai dan melaksanakan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.
Ini adalah di antara realiti yang dihadapi Malaysia di dalam menyeimbangkan usaha memberi had kebebasan yang bertanggungjawab dan amanah mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak kebebasan beragama penduduk berbilang agama di negara ini.
Contoh yang paling ketara berkenaan isu kebebasan bersuara yang sedang hangat diperkatakan dengan pindaan terkini yang diperbuat kerajaan Malaysia bagi memperkasa Akta Hasutan 1948, serta inisiatif kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Kedua-dua akta tersebut bukanlah untuk menafikan kebebasan bersuara dan hak kebebasan lain tetapi adalah usaha menzahirkan hasrat absah sesebuah kerajaan bagi menangani sikap melampau dalam mempraktikkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan asasi lainnya.
Bagi Dr. Iyad, isu kebebasan bersuara adalah sesuatu yang asasi tetapi walaupun wujud secara berterusan siri kejadian kebencian dan keganasan yang disebabkan keganasan akibat sikap stereotaip agama dan mendedahkan keaiban individu tokoh agama, masyarakat dan agama, sesetengah negara masih enggan meletakkan batasan atau had pertanggungjawaban terhadap hak dan kebebasan ini.
Malah, negara yang majoritinya beragama Islam yang mempertahankan kehormatan, kemuliaan dan reputasi nilai-nilai agama, kitab suci agama dan tokoh agama demi mempromosi keamanan dalam kalangan masyarakat dikritik hebat kerana mengehadkan kebebasan ini (contohnya melalui undang-undang penghinaan terhadap agama).
Selain itu, cabaran mengekang suara ekstremisme yang wujud dalam kalangan negara anggota OIC juga perlu ditangani bagi mengelakkan salah tanggapan bahawa suara-suara tersebut wujud mewakili arus perdana Islam. Usaha ini sudah tentu bertepatan dengan inisiatif Malaysia mengetengahkan pendekatan wasatiyyah di dalam melaksanakan tuntutan Islam di dalam pentadbiran negara dan dalam mengurus kemajmukan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
Adalah diharapkan bahawa kunjungan rasmi Setiausaha Agung OIC ke Malaysia hari ini akan dapat menyerlahkan peranan optimum Malaysia sebagai rakan strategik kepemimpinannya.
Selain hakikat OIC adalah pertubuhan kedua terbesar segi rangkuman geografi selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan ini juga berbangga dengan fakta bahawa Islam adalah agama pertama yang meletakkan asas yang kukuh mengenai hak-hak kemanusiaan sejagat.
Sejak penubuhannya, OIC telah memulakan usaha mempromosi hak asasi manusia dan kebebasan asasi tersebut termasuk dan khususnya usaha membela hak wanita dan penglibatan mereka di dalam semua aspek kehidupan, membantu masyarakat minoriti Muslim berdepan dengan cabaran mempertahankan maruah serta identiti budaya dan agama mereka.
Penulis percaya bahawa kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepemimpinan negara akan memanfaatkan kunjungan hormat ini bagi memperkasa kembali peranan dan gagasan OIC.
Piagam OIC telah membentuk IPHRC sebagai salah satu inisiatif mempromosi hak-hak sivil, politik, sosial dan ekonomi yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam.
Suruhanjaya itu yang telah menubuhkan empat kumpulan kerja yang memfokus isu Palestin, hak wanita dan kanak-kanak, Islamofobia dan minoriti Islam serta hak terhadap pembangunan.
Kumpulan kerja tersebut perlu menjadi landasan yang dapat dimanfaatkan Malaysia yang sedang giat meneruskan model tersendiri hak asasi manusia dan usaha pembangunan yang dapat dicontohi pelbagai negara lain.
Pada tahun ini khususnya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ahli anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh peranan IPHRC.
Di sinilah juga peri penting peranan dan sumbangan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) perlu diberikan perhatian khusus kepimpinan OIC dan negara anggotanya.
Jika di gelanggang hak asasi manusia PBB di Geneva, pengaruh sebilangan NGO dalam membahaskan nilai-nilai dan memperkukuh dan melaksana mekanisme perlindungan hak asasi manusia telah menjadi sangat berkesan, maka OIC seharusnya mengorak langkah memperkasa peranan NGI di dalam menguasai mekanisme hak asasi manusia PBB sedia ada yang sebahagiannya dapat dimanfaatkan untuk mempertahankan hak-hak masyarakat Muslim dalam kalangan negara anggota.
OIC melalui IPHRC juga perlu meluaskan skop dan peranannya untuk memberikan tafsiran betul tentang nilai-nilai dan hakikat sebenar hak asasi manusia berlandaskan acuan syariah dan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan fitrah kemanusiaan, sebagaimana yang digariskan Setiausaha Agungnya, di pelbagai forum dan platform.
PENULIS ialah seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).
Terbitan semula artikel Ahli MBA: http://azrilmohdamin.com/2015/04/14/malaysia-aset-strategik-kepemimpinan-oic/#more-4351