Bo Lah Awe… oleh KATA KAMA
Monday, November 23, 2009
http://kamabakar.blogspot.com/2009/11/bo-lah-awe.html
Apa tidaknya, menjelang Hari Wukuf, yang musim Haji ini jatuh pada hari Khamis 26 November, genaplah setahun saya menadah tangan di Arafah, dengan linangan airmata memohon keampunan Ilahi.
Keheningan malam di Muzdalifah dan Mina masih terasa, dan sebak kembali bertakhta di dada bila menghayati saat-saat syahdu mengatur langkah-langkah kecil mengelilingi Kaabah yang suci.
Kalau boleh, diri ini tak mahu lagi mempersiakan sisa-sisa hidup yang sudah menjelang senja ini dengan dosa. Tak kiralah apa jenis dosa sekalipun, apatah lagi dosa besar.
Tapi, saban hari tidak lekang daripada membaca rentetan dan cetusan hati pembicara politik semasa tanahair, baik dari pihak kerajaan maupun pembangkang. Pelbagai isu diperkatakan dan kadangkala bahasa yang digunakan begitu kesat sekali.
Tuduh menuduh, keji mengeji, fitnah memfitnah, maki hamun dan carutan; demi mendokong pegangan politik yang berbeza kita sanggup mencemar maruah diri kita sendiri. Dimana letaknya ketinggian pekerti kita sebagai seorang Muslim?
Pokok pangkalnya saya sekadar membaca; benar atau tidak isi kandung komentar sudah tentu sekali tidak dapat saya pastikan. Andainya fitnah, maka secara tidak langsung terbabitlah saya kerana turut menggusari sipenama. Inilah dosa kering yang saya maksudkan.
Kenapalah begitu tak keruan sekali keadaan umat kita sekarang. Bila agaknya kita hendak berbaik-baik sesama kita demi agama, andainya tidak mahu berdamai demi bangsa dan negara?
Adakah politik itu tonggak segala-galanya sehingga kesucian agama tergamak diperlekehkan begitu rupa?
2 comments:
Pi Bani said…