KALIMAH ALLAH DAN KEBEBASAN BERAGAMA oleh Dato’ Zulkifli Noordin

09 February 2014

Tuntutan pendakyah kristian untuk hak menterjemahkan perkataan ‘God’ kepada ‘Allah’ adalah satu pencabulan kepada hak kebebasan beragama umat Islam menurut Artikel 3 dan 11 Perlembagaan
Salam 2 all.

Malaysia adalah antara satu-satunya negara didunia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi negara. Ini tercatat dengan jelas didalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan’.

Sesuai dengan prinsip ‘laa ikro hafiddiin – tiada paksaan dalam Islam’ didalam Surah Al-Baqarah 2:256, Artikel 3 menyebut ‘tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan’.
Dan bagi memastikan kebebasan beragama bagi penganut agama lain didalam negara umat Islam ini, Artikel 11 (1) memperuntukkan bahawa ‘tiap-tiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya’.
Bagaimanapun sesuai dengan status Islam sebagai agama Persekutuan, maka sekatan dikenakan dalam soal pengembangan mana-mana agama selain Islam bilamana Artikel 11 (1) menyatakan hak menganut dan mengamal agama itu ‘termasuk mengembangkannya tertakluk kepada Fasal 11(4)’.
Fasal 11(4) menetapkan bahawa ‘undang-undang negeri, dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal dan menyekatpengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam’.
Kesimpulannya, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang memberikan kebebasan kepada penganut mana-mana agama lain untuk menganut dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing, tetapi dilarang mengembangkannya kepada umat Islam.
Dalam konteks inilah kita perlu menilai kenyataan oleh Paderi Andrew Lawrence dan pendakyah kristian yang menuntut hak pengggunaan kalimah Allah didalam bentuk triniti sebagai hak yang dijamin oleh Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan pertama yang perlu kita tanya ialah adakah penggunaan kalimah Allah termasuk didalam menganut dan mengamal agama kristian yang dijamin kebebasannya oleh Perlembagaan?
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu bertanya satu soalan pokok, apakah maksud penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama kristian? Adakah ianya berkaitan dengan persoalan agama, ketuhanan, iktikad, kepercayaan atau aqidah mereka? Atau ianya sekadar persoalan linguistik, soal penterjemahan perkataan?
Perkara asas yang kita perlu faham ialah apa maksud ‘agama’ dalam konteks Perlembagaan tersebut?
Didalam Kamus Dewan (Edisi Keempat 2007) mukasurat 14, ‘agama’ bermaksud ‘kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintahNya’.
Beragama bermakna bertuhan.
Jadi persoalannya, adakah penganut agama kristian didalam negara ini dilarang atau dicegah atau disekat kebebasan daripada beragama, iaitu bertuhankan kepada Tuhan mereka?
Ini sekaligus membawa kita kepada persoalan, siapakah Tuhan penganut agama kristian?
Jika kita bertanya kepada mana-mana penganut agama kristian apakah asas kepercayaan dan iktikad agama mereka, jawapan umum yang kita akan terima ialah ‘Kepercayaan kepada Jesus sebagai anak Tuhan Bapak melalui perantaraan Ruh Suci’.
Sebenarnya Jesus adalah seorang Yahudi Arami yang menggunakan bahasa Hebrew. Dalam bahasa Hebrew, namanya disebut sebagai Eeso. Tetapi bila ditulis dalam huruf romani, ianya ditulis sebagai Yesoa. Nama ini kemudian diterjemah ke bahasa Greek sebagai Ieosus, dalam Bahasa Inggeris lama sebagai Yesus, kemudiannya menjadi Jesus dalam Bahasa Inggeris moden. Didalam bible bahasa ‘Arab, ianya disebut ‘Yasu’.
Menurut iktikad dan kepercayaan kristian, Jesus adalah anak kepada Tuhan Bapak yang dicipta melalui perantaraan suatu Ruh Suci; lalu muncullah konsep ketuhanan triniti didalam agama, iktikad dan kepercayaan penganut kristian dipanggil Tuhan Bapak, Tuhan Anak & Ruh Suci.
Konsep triniti inilah yang dipanggil ‘God’ oleh penganut kristian. Didalam bible bahasa Hebrew, perkataan ‘God’ ini disebut sebagai ‘Adonai’, ‘Eli’, ‘Eloi’ atau ‘Elohim’.
Contohnya didalam Bible bahasa Hebrew, Jesus dikatakan merintih diatas salib semasa dipasung menyatakan ‘Eli, Eli, lamma sabachthani’ (Matthew 27:46). Ini diterjemahkan didalam Bahasa Inggeris sebagai ‘My God, My God, why have thy forsaken me’.
Dalam konteks itu, sudah tentu jika mahu diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu, ianya sepatutnya berbunyi, ‘Tuhanku, Tuhanku, mengapa Kau tinggalkan aku’.
Namun sebaliknya yang berlaku. Pihak pendakyah kristian telah menterjemahkan kalimah ‘God’ itu kedalam Bahasa Melayu dengan perkataan ‘Allah’! Maka jadilah ia berbunyi, ‘Allahku, Allahku, mengapa Kau tinggalkan aku’.
Persoalannya sekarang ialah adakah terjemahan itu betul dalam konteks Bahasa Melayu?
Jawapannya jelas; terjemahan perkataan ‘God’ kepada ‘Allah’ dalam Bahasa Melayu tidak betul; kerana dalam Bahasa Melayu ada perkataan lebih tepat iaitu ‘Tuhan’. Sebab itu Rukunegara Pertama berbunyi ‘Kepercayaan kepada Tuhan’, bukannya ‘Kepercayaan kepada Allah’.
Ini berasaskan kepada prinsip Artikel 3 dan 11 tadi iaitu tiap orang diberi jaminan kebebasan menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Konsep ketuhanan kepada Allah adalah iktikad dan aqidah kepercayaan penganut Islam; manakala penganut agama lain mempunyai iktikad dan kepercayaan kepada konsep ketuhanan yang berbeza namanya mengikut kepercayaan masing-masing.
Oleh itu, isu berkaitan penggunaan perkataan atau kalimah Allah oleh penganut agama kristian, samada didalam bible, penerbitan dan lain-lain bukannya persoalan agama, iktikad, kepercayaan atau aqidah mereka; ianya hanyalah soal penterjemahan perkataan ‘God’ daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu! Itu sahaja!
Dalam konteks itu, peruntukkan Artikel 3 dan 11 (1) yang memberi jaminan kebebasanmenganut dan mengamal agama mereka kristian tidak terpakai dalam isu penterjemahan perkataan ‘God’ kepada perkataan ‘Allah’.
Ini adalah kerana pelarangan penggunaan perkataan atau kalimah Allah terhadap kristian tidak menjejas atau menyekat kebebasan mereka untuk menganut dan mengamal agama, iktikad dan kepercayaan mereka kepada konsep ketuhanan triniti Jesus sebagai anak Tuhan Bapak melalui perantaraan Ruh Suci.
Sebaliknya penterjemahan perkataan ‘God’ kepada perkataan ‘Allah’ mencabul dan menjejaskan agama, aqidah, iktikad dan kepercayaan umat Islam yang mempercayai konsep ketuhanan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa – Maha Satu.
Dalam konteks itu, pelarangan penggunaan perkataan atau kalimah ‘Allah’ selain daripada yang dimaksudkan oleh Islam seperti terkandung didalam Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor 1988 adalah bersesuaian dan sejajar dengan peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan.
Rumusannya, penggunaan atau penterjemahan perkataan atau kalimah Allah oleh pendakyah kristian di Malaysia ini adalah sekadar untuk menterjemah perkataan ‘God’ dalam Bahasa Inggeris. Ianya tidak ada kena-mengena langsung dengan soal agama, iktikad atau kepercayaan mereka kepada konsep ketuhanan triniti.
Oleh itu, tidak timbul isu kononnya pelarangan penggunaan atau penterjemahan perkataan God kepada perkataan Allah keatas umat kristian adalah menyekat mereka daripada beragama, iaitu menganut dan mengamalkan agama kristian berdasarkan iktikad, kepercayaan kepada konsep ketuhanan triniti Jesus sebagai anak Tuhan Bapak melalui perantaraan Roh Suci.
Penterjemahan perkataan ‘God’ kepada ‘Allah’ bukan sebahagian daripada agama, iktikad atau kepercayaan penganut kristian. Sebaliknya mereka kekal bebas beragama kristian dengan menganut dan mengamalkan iktikad dan kepercayaan mereka bahawa Jesus adalah Anak kepada Tuhan Bapak melalui perantaraan Ruh Suci. Dan iktikad dan kepercayaan beragama kristian ini tetap dijamin oleh Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dan tidak dilarang atau dihalang sama sekali oleh mana-mana undang-undang atau mana-mana pihak.
Sebaliknya, penterjemahan perkataan ‘God’ yang difahami dalam bentuk triniti oleh penganut agama kristian kepada ‘Allah’ dalam Bahasa Melayu merupakan satu pencabulan dan pencemaran kepada kalimah ALLAH sebagai Tuhan Yang Maha Esa, Maha Satu didalam aqidah, iktikad dan kepercayaan dalam agama Islam.
Malah penterjemahan perkataan God kepada perkataan Allah seperti yang dilakukan oleh pendakyah kristian ini sebenarnyalah yang mencabuli hak kebebasan beragama bagi penganut agama Islam untuk menganut dan mengamalkan agama Islam dalam keadaan aman dan damai. Ianya mencabul dan melanggar peruntukkan Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan!
Wallahua’lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
09 Rabi’ul Akhir 1435
09 Februari 2014

*Artikel ini disiarkan di Majalah Al-Islam terbitan bulan Februari 2014 di mukasurat 29-31.

Comments

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.