‘Masjid ku nyaris terbakar!’ oleh Tuan Haji Maarof Kassim

http://www.maarofkassim.com/2011/08/masjid-ku-nyaris-terbakar.html

Mula-mula aku rasa malas nak pergi solat Jumaat hari ini. Aku mengantuk sangat sebab malam tadi aku kurang tidur. Pagi tadi pula seorang perempuan Indonesia datang mengemaskan rumah ku. Oleh itu aku terpaksa menunggunya selesai bekerja baharu aku dapat tidur untuk menggantikan tidur yang hilang malam tadi.
Akhirnya di saat-saat akhir aku pergi juga ke masjid kesukaan ku iaitu Masjid India Muslim, Ulu Temiang, Seremban. Minggu ini ialah giliran Imam Melayu yang memberi khutbah dalam bahasa Melayu juga.
Oleh kerana aku tiba lewat aku terpaksa duduk di belakang dan tidak di tempat biasa aku di tepi sebelah kanan masjid. Sedang Imam memberikan khutbah pertama aku terbau asap dan nampak pergerakan jemaah di tempat biasa aku duduk. Kemudian terdengar beberapa letupan dan jemaah yang sebelumnya duduk berdiri dan memandang ke siling masjid. Masjid berhawa dingin, tetapi kerana jumlah unitnya kurang kipas juga dipasang.
Aku nampak api di papan fuis masjid. Mula-mula kecil dan akhirnya bertambah besar. Imam yang sedang membaca khutbah memberhentikan bacaannya. Aku nampak beberapa orang jemaah meninggalkan masjid untuk pergi ke masjid lain, agaknya. Aku pun turut sama keluar dari masjid.
Mujurlah ada beberapa orang pergi ke tempat wuduk dan mengambil air dalam baldi. Ada yang menasihatkan supaya air tidak boleh digunakan. Di samping itu baru aku nampak seorang menjenjeng pemadam api dari luar masjid.
Apabila aku masuk semula api sudah dipadamkan dengan menjirus air. Pemadam api tidak digunakan. Kami pun meminta Imam meneruskan bacaam khutbahnya. Kali ini kami duduk mendengar khutbah dan seterusnya bersolat dalam keadaan panas.
Semasa solat saya terdengar kenderaan bomba datang, tetapi mereka tidak dapat memasuki masjid kerana di halang kenderaan para jemaah. Tetapi khidmat mereka tidak diperlukan.
Aku dapat tahu Presiden Kesatuan India Muslim Malaysia atau KIMMA ialah orang kuat masjid ini dan sekarang sudah dilantik menjadi Senator. Aku harap dia berbuat sesuatu untuk membaiki bekalan elektrik di masjid ini.
Antara yang saya pelajari dari pengalaman ini adalah seperti berikut:-
1. Sentiasa menyimpan pemadam api.
2. Jangan menggunakan terlalu banyak alat-alat elektrik di satu masa.
3. Jangan meletakkan papan suis dan papan fius terlalu dekat dengan siling.
Inilah gambar-gambar yang sempat saya ambil. Minta maaf mutu kurang baik kerana gambar-gambar diambil dari kamera telefon bimbit Nokia 6210 yang berumur lebih tiga tahun.
Api baru nak mula. Perhatikan juga alat pendingin hawa.
Api dah marak sedikit. Lepas ini dia marak lagi.
Api sudah dipadamkan. Nasib baik wayar di atas itu tidak sama terbakar.
Imam meneruskan khutbah tanpa pembesar suara.

Jemaah selepas solat Jumaat dalam keadaan panas.
Kenderaan bomba terpaksa diletak jauh dari masjid. Tempat letak kereta ada yang kosong kerana ada jemaah telah meninggalkan masjid untuk solat di masjid lain.
Seorang ahli bomba melihat dari luar masjid.
Ahli bomba di dalam masjid. Imam sedang membaca doaBaldi itu digunakan untuk memadam api sebelumnya.

Sekian.

Comments

Comments are closed.