Diskusi Isu Kalimah bersama Politikus oleh Akhie Naim

Pemerhatian: Diskusi Isu Kalimah Allah Bersama Politikus

Malam semalam (18 Januari 2010), saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbincangan tertutup berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di kediaman Ketua Umum PKR. (Berita di sini) Turut hadir pada malam itu adalah para pemimpin PKR dan PAS. Perbincangan yang berlanjutan hampir tiga jam itu berjalan dengan agak baik, tetapi saya dan rakan-rakan agak kecewa dengan banyak hal, terutamanya yang berkaitan dengan ‘mentaliti’ dan ‘sikap’ orang-orang politik. Saya rumuskan perbincangan yang berlangsung pada malam tersebut dalam beberapa perkara penting yang saya senaraikan di bawah;

1)
Hujah-hujah yang bersifat ilmiah dan intelektual, khususnya yang melihat daripada aspek teologi, falsafah bahasa, serta latar sosio-budaya, ternyata sukar diterima oleh ahli perbincangan pada malam itu yang rata-ratanya sudah membuat keputusan masing-masing. Sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin politik yang memperlekeh pandangan intelektual, menolak pandangan dari sudut falsafah bahasa dan mengenepikannya mentah-mentah ternyata mengecewakan. Malah, lebih mengecewakan kerana majoriti pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang parti politik yang terlibat pada malam itu lebih bersifat ‘pandangan’ dan ‘pendapat’ yang seolah-olah dibuat tanpa melakukan penelitian, kajian, serta pembacaan yang lebih meluas dan mendalam. Banyak hujahan yang simplistic dilontarkan, semata-mata untuk mempertahankan pandangan kelompok mereka.

2)
Sikap segelintir kecil orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut yang gemar menggunakan hujah daripada nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, walaupun mereka bukanlah orang yang berkelayakan dalam bidang agama atau tidak pernah mempelajari agama secara serius melalui sistem pengajian yang serius (bukan melalui bacaan satu-dua buku, bukan melalui kajian Internet, bukan melalui ceramah-ceramah, tetapi melalui kelas-kelas pengajian yang ada gurunya), membayangkan keangkuhan mereka. Ayat-ayat yang digunakan, serta sanggahan terhadap penggunaan ayat itu sebagai dalil membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam, telah disentuh oleh Mohd. Aizam bin Mas’od di dalam artikel bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian”.

3)
Pendirian ‘tidak rasmi’ Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh DSAI pada permulaan sesi perbincangan, yakni untuk menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini, antara lain – menurut DSAI – dikukuhkan dengan pandangan yang diterima daripada Dr. Yusuf Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili. Hal ini ternyata mengecewakan dan membayangkan seolah-olah orang-orang politik tersebut ‘miskin’ dengan jaringan para ‘ulama. Mendengar pandangan daripada dua orang tokoh tersebut, dan kemudian terus membuat suatu keputusan (saya katakan keputusan kerana kenyataan telah dikeluarkan dalam media) adalah merupakan perkara yang tidak sihat dan sebenarnya telah menutup pintu untuk menerima pandangan-pandangan lain. Ya, kedua-dua tokoh itu adalah tokoh besar di dalam dunia Islam tetapi dunia Islam mempunyai ribuan ‘ulama. Di Malaysia sahaja kita mempunyai begitu ramai ‘ulama yang hebat dan luas ilmunya. Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, sebagai contoh, seorang ‘ulama muda tempatan yang kitab-kitab karangan dan terjemahannya sudah mencapai 300 buah, malah ada di antara kitab-kitab beliau yang digunapakai di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian di Mesir.

4)
Sesi perbincangan tersebut dilihat agak ‘tidak adil’ dan bersifat ‘syok sendiri’. Hal ini demikian kerana ahli perbincangan tersebut tidak cukup ‘diverse’. Majoriti ahli perbincangan adalah merupakan orang-orang parti politik masing-masing. Beberapa orang ahli akademik yang menghadiri perbincangan tersebut pula adalah merupakan kenalan lama kepada para pemimpin parti politik tersebut, sehingga menjadikan pandangan dan pendapat mereka agak ‘reserved’ dan terlalu berhati-hati. Agak mengecewakan kerana banyak di kalangan individu-individu yang autoritatif di dalam hal ehwal agama, terutama di kalangan ilmuan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tidak dipanggil dan dilibatkan sekali. Seolah-olah, yang mereka iktiraf sebagai ‘ulama dan ilmuan hanyalah daripada circle mereka sahaja. Sedangkan, ada ramai ‘ulama dan ilmuan yang mampu memberikan pandangan secara ilmiah dan bernas – dan jika benar mereka mahu menegakkan semangat muzakarah demi mencari kebenaran, maka seharusnya mereka dilibatkan sekali.

5)
Sikap politik kepartian yang tidak matang ternyata masih menebal. Biarpun sesi perbincangan tersebut – menurut yang difahamkan kepada kami – adalah sesi perbincangan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu tersebut secara sihat demi mencari penyelesaian kepada dilema yang sedang berlaku, tetapi ternyata orang-orang politik yang terlibat di dalam perbincangan tersebut – tua atau muda – semuanya masih ‘terperangkap’ dalam kerangka politik kepartian yang tidak matang. Biarpun beberapa kali disebutkan agar isu ini tidak dijadikan sebagai isu politik, tetapi ternyata pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh orang-orang politik pada malam itu majoritinya berdasarkan kepada kacamata ‘politik menang-kalah’; soal populariti parti, soal memenangi undi masih lagi menjadi timbang tara yang melebihi timbang tara ilmiah. Malah, perbincangan yang seharusnya ilmiah itu acapkali menjadi sesi mengutuk UMNO dan kerajaan. Ketua Umum PKR sendiri, pada hemat saya, agak emosional dan sangat terikat dengan pertimbangan politik dalam menilai pandangan-pandangan yang dikemukakan. Keadaan ini ternyata mengecewakan kerana sikap sebegini merugikan umat, kerana sikap ini menjadikan seolah-olah segala yang datangnya daripada UMNO itu dilihat oleh PAS-PKR sebagai ‘najis’ dan begitulah sebaliknya.

6)
Apa yang agak mengecewakan dan merisaukan juga adalah apabila DSAI mengeluarkan kenyataan supaya isu penggunaan nama Allah ini tidak dipanjangkan kerana banyak isu lain yang ‘lebih penting’ seperti isu kezaliman pemerintah, rasuah dan sebagainya yang perlu diberikan penumpuan serius. Saya agak terkesima dengan kenyataan tersebut, yang membayangkan satu kecelaruan dalam pandangan alamnya. Isu nama Allah ini berkait rapat (jika pun tidak berkait secara langsung) dengan usuluddin, dengan asas agama – kerana yang dibincangkan di sini adalah nama Tuhan kita! – justeru persoalan yang berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam (walaupun mungkin tidak berkaitan secara langsung) haruslah diberikan keutamaan. Kenyataan DSAI itu membayangkan seolah-olah untuk ‘bertarung’ dengan orang Islam (kerajaan UMNO) itu lebih penting daripada bersatu bersama umat untuk ‘bertarung’ menentang orang bukan Islam (gereja Katolik).

Agaknya, memang sukar untuk merubah masyarakat menjadi masyarakat yang benar-benar berbudaya ilmu. Agaknya juga, masih ramai yang tidak memahami bahawa politik bukanlah penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan umat yang wujud pada hari ini. Mungkin juga, ramai yang masih belum memahami bahawa asas kepada penyelesaian permasalahan umat, dan seterusnya untuk membina tamadun umat Islam yang terbaik, adalah pada persoalan ‘aqidah – soal pembentukan pandangan alam Islam yang benar dan jelas.

Saya pasti ulasan ini tidak popular. Mohon maaf jika ada sesiapa yang terasa. Semoga Allah mengurniakan hidayah-Nya kepada kita semua dan melimpahi Rahmat-Nya kepada kita tanpa putus.

Nazri Silap tentang Undang Undang Sekat Dakyah Kristian!

Dari blog Zulkifli Noordin.
19 January 2010
(Mukadepan akhbar Utusan Malaysia Rabu 26 Rejab 1427/23.08.2006 melapurkan janji UMNo/Be End untuk menguatkuasakan Artikel 11 (4) di empat negeri. Mana janji-janji itu? Lihat berita penuh dilampiran bawah).
Salam 2 all.
Saya merujuk kenyataan YB Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh kumpulan Kristian di Kuala Lumpur. Pulau Pinang, selain Sabah dan Sarawak. Mengikut kata beliau, ini adalah kerana keempat-empat negeri tersebut tidak mempunyai sebarang undang-undang menyekat penggunaan perkataan ALLAH, tidak sebagaimana 10 negeri lain yang mempunyai undang-undang yang berkaitan.
Saya berpendapat kenyataan tersebut kurang tepat kerana undang-undang negara mempunyai peruntukkan yang cukup untuk menghalang atau mengharamkan penggunaan kalimah yang dianggap sensitif dan atau bercanggah dengan agama Islam.
Datuk Seri Nazri mungkin lupa kepada kenyataan beliau sendiri yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia Rabu 29 Rejab 1427/ 23.08.2006. Semasa itu isu kes memurtadkan Azlina Jailani @ Lina Joy sedang hangat diperkatakan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azlina (yang disokong oleh 13 Ngo bukan Islam termasuk Sisters in Islam) untuk mengesahkan kemurtadan beliau ke agama Kristian dan menukar nama beliau didalam MyKad. Isu berkaitan peruntukkan Artikel 11 (4) telah berbangkit.
Saya adalah antara mereka yang menentang keras tindakan Azlina Jailani dan kumpulan-kumpulan Ngo Kristian, Majlis Peguam dan lain-lain dalam cubaan mencabar kedudukan Islam didalam negara ini. Malah saya telah berjumpa sendiri dengan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membawa kepada YAB membuat kenyataan saperti yang saya lampirkan dibawah.
Malahan Datuk Seri Nazri turut membuat komen iaitu, “beliau akan merujuk kepada Peguam Negara esok mengenai kedudukan draf undang-undang itu untuk Wilayah Persekutuan. Sambil menyokong arahan Perdana Menteri itu (untuk menggubal undang-undang menyekat dakyah agama bukan Islam), beliau berkata, kerajaan negeri kemungkinan boleh dianggap melanggar undang-undang Malaysia sekiranya tidak mengambil inisiatif untuk berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. ‘‘Kita perlu ingat di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh mengembang agama lain di kalangan orang Melayu atau Islam”. ‘‘Saya berharap semua kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap perkara ini demi melindungi orang Melayu atau Islam daripada dipengaruhi oleh agama atau kepercayaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu disegerakan kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam di negara ini”.
Saya mahu bertanya YB Datuk Seri Nazri, mana dia janji-janji tersebut? Apa dah jadi dengan deraf undang-undang tersebut. Kalau ikut kenyataan mereka pada tahun 2006, ada pemimpin UMNo/Be End siap janji akan menggubalnya tahun 2006 itu juga!! Tapi habuk pun tarak; janji tinggal janji, cakap tak serupa bikin.
Malahan saya berpendapat isu penyalahgunaan kalimah ALLAH oleh segelintir Kristian di Sabah/Sarawak ini mungkin langsung tidak akan timbul sekarang jika UMNo/Be End menunaikan janji palsu mereka tiga tahun lepas untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang Anti-Dakyah Agama ini di keempat-empat negeri tersebut! Kini ketiadaan undang-undang Anti-Dakyah Agama ini diambil kesempatan oleh segelintir puak Kristian untuk mencabar kesucian aqidah Islam.
Selanjutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan nama ALLAH (dan banyak perkataan lain yang dinyatakan) adalah tidak dibenarkan samasekali kecuali oleh orang Islam. Bermakna, walaupun tanpa Artikel 11 (4) Perlembagaan dan enakmen negeri-negeri, pihak berkuasa boleh menggunakan Seskyen 298A Kanun Kesiksaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan nama ALLAH selain daripada maksud Tuhan yang Satu saperti yang dii’tiqadkan oleh umat Islam. Seksyen 298A (1) menyebut, “barangsiapa dengan perkataan, samada secara lisan atau bertulis…memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau berkemungkinan memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan…atas alasan-alasan agama, diantara orang yang menganut agama yang sama atau berlainan agama, hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari lima tahun“.
Oleh itu, kerajaan boleh mengambil tindakan berdasarkan lapuran-lapuran polis yang dibuat oleh pelbagai individu dan NGO berkaitan isu penyalahgunaan kalimah ALLAH menurut i’tiqad aqidah umat Islam di Malaysia ini, samada terhadap golongan Kristian dan bukan Islam, dan terhadap individu atau kumpulan yang mengaku beragama Islam!!
Berdasarkan itu, saya berharap YB Datuk Seri Nazri dapat memperbetulkan kenyataan beliau tersebut yang menyatakan Kristian di Sabah/Sarawak termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah ALLAH. Bukan sahaja kenyataan beliau itu bercanggah dengan undang-undang negara, malah bercanggah dengan kenyataan beliau sendiri yang dibuat tiga tahun lepas. Melayu mungkin mudah lupa, sebagaimana titah Mamanda Tun Mahathir suatu ketika dahulu; tetpai umat Islam bukan jenis pelupa!!

Saya juga mengambil kesempatan ini mencabar kerajaan Be End/UMNo supaya mengotakan janji-janji mereka saperti yang telah mereka buat pada tahu 2006. Janganlah main hangat-hangat tahi ayam; bila ada isu baru kelam kabut buat kenyataan tabur janji sana-sini, bila reda masing-masing jadi Pak Pelupa. Saya sendiri telah mengemukakan pelbagai cadangan dan usul setelah menjadi Ahli Parlimen sessi ke 12 ini. Ini terbukti didalam Hansard Parlimen. Namun saya tidak punya kuasa; malahan cadangan dan usul saya kemukakan dibahas pun tidak di Parlimen, kerana UMNo/Be End yang menguasai Parlimen tidak berminat pun dengan isu ini. Kalau benar UMNo katanya juara dan champion umat Islam saperti yang diperkokokkan, saya tidak nampak mengapa undang-undang Anti-Dakyah Agama ini tidak boleh dibentangkan disidang Parlimen bulan Mac akan datang. Peruntukkan Perlembagaan sudah ada, 10 negeri lain telah pun laksanakan, Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun memmbuat Fatwa, para Sultan dan Raja-Raja Melayu telah pun menegaskan supaya Islam dihormati..yang tinggal hanya “political will’-kesungguhan politik UMNo/Be End untuk mengotakan janji mereka dan melaksanakannya.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
03 Safar 1431
19 Januari 2010

########################################################

(Petikan kenyataan Datuk Seri Nazri di MalaysiaKini Selasa 03 Safar 1431/19.01.2010)
Nazri: ‘Allah’ juga boleh diguna di WP, P. Pinang
Jan 18, 10 3:00pm
Selain Sabah dan Sarawak, perkataan Allah juga boleh digunakan oleh bukan Islam di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, kata seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata, di negeri-negeri lain yang mempunyai enakmen agama Islam, bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah, lapor The Sun. Jumaat lalu, beliau dipetik berkata penganut Kristian di Malaysia Timur boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan ‘God’ dalam bahasa cetakan bahasa Malaysia, kerana mereka telah menggunakannya sejak 300 tahun yang lalu. Pengumuman itu dibuat olehnya dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily.Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ia sudah menjadi tradisi mereka di sana.

#########################################################

(Petikan kenyataan pimpinan UMNo/Be End termasuk Dato’ Seri Nazri yang disiarkan dihalaman depan Utusan Malaysia Rabu 29 Rejab 1427/23 Ogos 2006)
Empat negeri setuju — Gubal perundangan sekat penyebaran agama lain di kalangan umat Islam
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.
Kesemua negeri itu sedang berusaha untuk mempercepatkan pewartaan undang-undang itu. Pulau Pinang akan membentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini, Sarawak pula akan membincangkan mengenai perkara itu di Kabinet negeri secepat mungkin.
Sabah pula akan merujuk kepada Peguam Negeri untuk digubal undang-undang itu. Sementara Wilayah Persekutuan pula, yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sedang menggubal draf undang- undang itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, beliau akan merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi menggubal undang-undang tersebut.
‘‘Kita akui di Sabah masih belum wujud undang-undang itu bagaimanapun ia perlu dirujuk kepada Peguam Negara,’’ katanya di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang berkenaan.
Abdullah berkata, empat negeri yang masih belum mempunyai undang-undang seperti di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itu ialah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Bagi Sarawak, undang-undang tersebut akan dibentangkan ke Kabinet negeri secepat mungkin.
Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, setakat ini Sarawak memang tidak mempunyai undang-undang sedemikian kerana tidak banyak kontroversi berkaitan agama berlaku di negeri itu.
“Perkara ini (menggubal undang-undang) akan dibawa ke Kabinet negeri untuk dibincangkan dan akan dilaksanakan secepat mungkin,’’ katanya.
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, penggubalan undang-undang tersebut akan dirujuk terlebih dahulu kepada Peguam Negeri sebelum ia dibentangkan di Kabinet negeri.
‘‘Peguam Negeri akan meneliti prosedur pelaksanaan undang-undang itu yang diamalkan di negeri lain sebagai panduan untuk dipraktikkan di negeri ini,’’ katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, arahan Perdana Menteri semalam akan diambil tindakan segera kerana bimbang kemungkinan berlaku pertelingkahan atau kontroversi agama pada masa akan datang.
‘‘Sudah sampai masanya undang-undang sedemikian diperlukan sebagai persediaan awal berlaku kontroversi berkaitan agama di negeri ini,’’ katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya menjelaskan, draf undang-undang itu bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama lain di kalangan orang Islam bagi negeri itu sedang dalam proses akhir disiapkan.
Ia dijangka dibentangkan untuk diluluskan pada persidangan DUN, November ini.
Katanya, draf itu akan diperakukan dalam mesyuarat MAIPP September ini terlebih dahulu sebelum dibentangkan pada persidangan tersebut.
‘‘Kerajaan negeri sebelum ini telah memberi jaminan bahawa tiada halangan dalam menggubal atau mewujudkan peruntukan itu seperti yang termaktub di bawah Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,’’ katanya.
Shabudin memberitahu, dalam usaha menyiapkan draf berkenaan, pihaknya akan merujuk kepada undang-undang yang diguna pakai di negeri lain untuk keselarasan.
‘‘Draf ini apabila diluluskan akan menyelaraskan undang-undang Pulau Pinang dengan negeri lain bagi memastikan orang Islam tidak dihasut atau dipengaruhi untuk cenderung kepada agama lain, menjadi pengikut, ahli agama bukan Islam atau meninggalkan dan membelakangkan agama Islam,’’ tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri supaya mempercepatkan kajian dan penelitian undang-undang itu sebagaimana yang diarahkan oleh Perdana Menteri semalam.
Katanya, Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan keempat-empat negeri terbabit bagi menggubal undang-undang yang sama supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan dan masalah pada masa hadapan.
‘‘Perkara tersebut sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia diberi perlindungan dan perlembagaan mengatasi semua perkara.
‘‘Kerajaan negeri juga akan mengambil inisiatif untuk memberi penjelasan kepada semua penduduk agar ia tidak menimbulkan sebarang keraguan di masa hadapan,’’ katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau akan merujuk kepada Peguam Negara esok mengenai kedudukan draf undang-undang itu untuk Wilayah Persekutuan.
Sambil menyokong arahan Perdana Menteri itu, beliau berkata, kerajaan negeri kemungkinan boleh dianggap melanggar undang-undang Malaysia sekiranya tidak mengambil inisiatif untuk berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
‘‘Kita perlu ingat di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh mengembang agama lain di kalangan orang Melayu atau Islam.
‘‘Saya berharap semua kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap perkara ini demi melindungi orang Melayu atau Islam daripada dipengaruhi oleh agama atau kepercayaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu disegerakan kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam di negara ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ulasan Admin:
Artikel di atas adalah pandangan peribadi Tuan Zulkifli Noordin, ahli berdaftar Muslim Bloggers Alliance.
Seboleh mungkin, MBA tidak mahu terlibat didalam soal soal berkaitan politik negara dan memusatkan kepada hal ehwal berhubung dengan Agama Islam, hal ehwal masyarakat dan hanya bila terpaksa menyentuh bab siyasah negara.
Ini disebabkan dasar perlembagaan MBA yang tidak membezakan diantara pegangan ahli MBA dan artikel artikel mereka yang tidak tersasar dari matlamat memperjuangkan kesyumulan Islam akan dipertimbangkan untuk penyiaran semula disini.
Bagi pendapat peribadi saya, Tuan Zulkifli Noordin mempunyai hujah hujah yang berasas didalam menyanggah kenyataan Dato Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa keempat negeri tersebut iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai sekatan ke atas penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Kristian.
Saya ingin bertanya,” Sejak bila Dato Seri Nazri Aziz mengambil alih kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Malaysia selaku KETUA AGAMA ISLAM di negeri negeri dan Wilayah Persekutuan tersebut dimana kita semua sedia maklum bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah diamanahkan oleh Perlembagaan Malaysia menjaga hal ehwal Agama Islam bagi negeri negeri tersebut yang tidak dibwah perintah seorang Sultan atau Raja Melayu?
Sejak bila Dato Seri Nazri Aziz diberi kuasa oleh umat Islam di keempat negeri tersebut untuk mewakili mereka?
Kenyataan tanpa memeikirkan natijah terhadap kedudukan Agama Islam oleh menteri berkenaan amat dikesali kerana soal ini melibatkan kesejahteraan ummah!
Apakah Dato Seri Nazri Aziz bersedia untuk bertanggungjawab nanti bilamana Gereja Katolik Kristian yang tegar beriya iya menjalankan dakyah mereka kini diberi izin tanpa tauliah oleh seorang menteri yang berkata ia menurut perintah Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak?
Jangan main main dengan masadepan umat Islam!
Natijahnya nanti teramat buruk dan menteri menteri berkenaan akan di pertanggungjawabkan nanti sekiranya berlaku kebangkitan ummah yang semakin marah dengan pencerobohan ke atas kesalahgunaan Ismul Allah oleh pihak Kaffir yang TIDAK BERIMAN dan MEMPERCAYAI ALLAHU TA’ALA sebagai RABBUL ALAMIN!
Zainol Abideen @ MAHAGURU58
Muslim Bloggers Alliance.