Shopping mall atau masjid? Pilihlah.. oleh Abu Amar

http://perantaualamfana.blogspot.com/2009/10/shopping-mall-atau-masjid-pilihlah.html

Weekend adalah saat-saat yang dinanti-nantikan. Apakan tidak… inilah hari-hari di mana peluang untuk keluar dari suasana rumah atau tempat kerja di mana sebahagian besar masa yang aku telah luangkan.

Akupun memilih destinasiku.. Ikea Damansara. Mak datuk betapa ramainya orang. Maka pilihan aku tidak silap lagi. Kerana di situ aku bersama-sama ribuan manusia bersesak-sesak. Pengamatanku mengatakan ribuan manusia itu sebahagian besarnya daripada umat Islam. Jadi aku bersama-sama ribuan orang Islam sedang menikmati dunia ini yang pastinya memikat kalbu. Dunia itu indah. Dunia itu lazat… Dunia itu wangi… Dunia itu memberahikan… Dunia itu menyebabkan aku lupa kealpaan..

Aku di kalangan ribuan manusia yang berugama Islam ini sekiranya memenuhi masjid sebagaimana sesaknya di pusat membeli-belah itu tentulah menyerlahkan seribu manfaat masjid. Kenapa masjid lesu dan lengang? Kini masjid seolah-olah menjadi tugu peringatan. Cantik, kaku dan lesu.

Masjid-masjid di zaman Rasulullah adalah pusat kecemerlangan ummah kini ketandusan umat. Masjid di tanah airku telah dilemparkan nasib serupa seperti gereja-gereja di barat. Mungkin masjid itu perlu diubah strategi mengimarahkan masjid. Adakah perlu diupah amoi-amoi yang lawa-lawa seksi menjadi promoter masjid barulah berbondong-bondong manusia menuju ke masjid? Ataupun si imam tua dan jawatankuasa masjid yang sentiasa sibuk mengira-ngira duit tabung masjid itu perlu ditukar dengan manusia pakar konsultansi atau motivasi yang sering terpampang di layar tv. Ataupun teknokrat-teknokrat masjid perlu diberi gaji ribu-ribu ringgit mengambil tugas menyeru orang-orang Islam ke masjid supaya masjid yang kemarau jemaah dikembalikan martabatnya itu.

Kenapa masjid yang mengorbankan jutaan ringgit yang ditaruk lampu-lampu chandelier itu lesu? Tidak padan dengan pengunjung-pengunjung tetap yang hanya menjangkau puluhan orang dan tidak pernah mencecah ratusan jemaah siang mahupun malamnya. Hanya angka ribuan tercatat bila masjid itu dilawati oleh hari Jumaat atau awal Ramadan. Selepas itu ia menjadi lesu dan terus lesu.

Al quran dan Hadis tidak mampu menggilap minat umat Islam Malaysia seperti aku mengimarahkan masjid. Alangkah bodoh dan gelapnya hatiku..

Aku lebih ceria bila amoi-amoi promoter di shopping mall menjelaskan nilai-nilai komersial barang promosi. Amoi-amoi itu tetap melontar senyuman menggoda walaupun aku bukanlah pelanggan tetapnya atau orang yang dikenalinya.

Bila aku tiba di masjid aku khuatir dileteri oleh si imam atau orang-orang masjid yang tidak mesra pelanggan itu. Si imam selalunya melontarkan keluhan-keluhan betapa buruk dan jahatnya umat Islam di sana sini. Bukannya khutbah motivasikan aku agar segar menghayati perintah Allah dan sunnah Nabi. Leteran mingguan ini bakal melesukan aku yang terus lesu.

Alangkah bodohnya aku bila ke masjid…. Kenapa masjid berubah menjadi penjara. Gril di tingkap dan pintu-pintu masjid menyeramkan daku. Kononnya mencegah penagih yang juga kebanyakannya dari umat serumpunku. Adakah sekuriti keselamatan masjid perlu begini? Bukan masjid saja di gril, bahkan tandas-tandas masjid juga kena digril. Ngerinya aku memikirkan jika aku ingin berteduh sementara waktu sebelum meneruskan perantauan aku. Bagaimana ketika itu aku ingin menyempurnakan hajatku ketika aku sakit perut.

Akhir kata… masjid tetap lesu, shopping mall tetap ceria.. Masjid menjadi tugu… shopping mall tetap menggoda aku untuk mengembara ke sana… Oh imam.. Oh ajk masjid… bilakah korang nak berubah agar aku yang jahil ni menjadi pengunjung setia masjid…

Comments

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.