Bo Lah Awe… oleh KATA KAMA

Monday, November 23, 2009

http://kamabakar.blogspot.com/2009/11/bo-lah-awe.html

Jemaah Haji Malaysia daripada maktab kami semasa menziarahi medan Perang Uhud dipinggir Kota Mekah. Syahdu melihat perkuburan para Syuhada terutama tempat bersemadinya Saiyyidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah saw, yang gugur di peperangan tersebut.

[Bo Lah, dalam loghat Kelantan bermaksud Cukuplah. Ertikata Bahasa Inggeris yang paling hampir mungkin enough is enough. Marilah kita merenung bersama halatuju kita sebagai saudara seagama. Yang penting: politik diketepikan, ibadah diutamakan]Kadangkala saya rasa dosa diri ini bertambah-tambah pulak sejak dua menjak ni. Musykil jugak bila memikirkannya, lebih-lebih lagi kerana pada hemat saya dosa yang dibuat hanyalah ‘dosa kering’ semata-mata. Tapi kerisauan tetap menggugat jiwa.

Apa tidaknya, menjelang Hari Wukuf, yang musim Haji ini jatuh pada hari Khamis 26 November, genaplah setahun saya menadah tangan di Arafah, dengan linangan airmata memohon keampunan Ilahi.

Keheningan malam di Muzdalifah dan Mina masih terasa, dan sebak kembali bertakhta di dada bila menghayati saat-saat syahdu mengatur langkah-langkah kecil mengelilingi Kaabah yang suci.

Kalau boleh, diri ini tak mahu lagi mempersiakan sisa-sisa hidup yang sudah menjelang senja ini dengan dosa. Tak kiralah apa jenis dosa sekalipun, apatah lagi dosa besar.

Tapi, saban hari tidak lekang daripada membaca rentetan dan cetusan hati pembicara politik semasa tanahair, baik dari pihak kerajaan maupun pembangkang. Pelbagai isu diperkatakan dan kadangkala bahasa yang digunakan begitu kesat sekali.

Tuduh menuduh, keji mengeji, fitnah memfitnah, maki hamun dan carutan; demi mendokong pegangan politik yang berbeza kita sanggup mencemar maruah diri kita sendiri. Dimana letaknya ketinggian pekerti kita sebagai seorang Muslim?

Pokok pangkalnya saya sekadar membaca; benar atau tidak isi kandung komentar sudah tentu sekali tidak dapat saya pastikan. Andainya fitnah, maka secara tidak langsung terbabitlah saya kerana turut menggusari sipenama. Inilah dosa kering yang saya maksudkan.

Kenapalah begitu tak keruan sekali keadaan umat kita sekarang. Bila agaknya kita hendak berbaik-baik sesama kita demi agama, andainya tidak mahu berdamai demi bangsa dan negara?

Adakah politik itu tonggak segala-galanya sehingga kesucian agama tergamak diperlekehkan begitu rupa?

Tidak wajarkah kita bersatu demi Ummah?
Sesungguhnya, EGO telah meranap dan meruntuhkan akhlak dan aqidah antara kita …..

2 comments:

Al-Manar said…

Hajjah,Syabas kerana timbulnya perasaan yang mencerminkan kesederan dan keinsafan. Saya rasa ego, perlumbaan kuasa dan kebendaan menjadi salah satu sebab keadaan yang berlaku. Tiada lagi keinginan mengambil tahu samaada masih adakah diluar sana mereka yang betul betul memerlukan bantuan. Tnggal ‘rhetoric’ sahaja laungan berkhidmat kerana ugama dan bangsa.

Pi Bani said…

Kerana itulah saya menjauhkan diri dari apa-apa saja yang berkaitan dengan politik. Buat kerja senyap-senyap tanpa melibatkan orang politik lebih memberi kepuasan diri…

Comments

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.